“Kami Dipaksa Menipu..” Tak Tahan, Guru Nekad Dedah Sisi Gelap Sistem Pendidikan Malaysia
Demikian pendedahan yang dibuat oleh seorang bekas guru bahasa Inggeris kepada portal Majoriti, Wan Maizura Kamaruddin yang nekad untuk bersara awal ketika umurnya hanya 53 tahun.
Sistem pendidikan sekarang yang tiada hala tuju membuatkan ramai guru seolah-olah sudah tidak ada jiwa untuk mengajar dan ramai yang mengambil keputusan untuk bersara awal.
Lebih teruk, kebebasan bersuara dalam kalangan guru juga seolah-olah disekat kerana perlu selari dengan pendapat pihak tertentu seperti guru besar dan jika tidak, akan ditukar atau diambil tindakan.
Menceritakan pengalamannya sendiri, Wan Maizura berkata dia pernah bersuara mengenai pihak atasan.
Dan salah laku guru besar tetapi tidak diendahkan malah dia sendiri yang terpaksa menanggung akibat hingga ditukar mengajar ke kelas bawah.
“Bila guru besar dah tak suka saya, apa lagi boleh dibuat. Lebih baik saya berhenti. Bagi saya ketiadaan hak bersuara ini sesuatu yang sangat tidak profesional,” luahnya lagi.
“Setiap arahan dari atas bila turun ke bawah semakin bertambah. Saya sifatkan ini dengan istilah ‘little napoleon’ di mana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diubah untuk mengikut KPI yang diperlukan pihak tertentu.
“Mereka pula yang tentukan KPI untuk kepentingan diri sendiri dan akhirnya guru terpaksa ikut.
Jadi keseronokan untuk mengajar itu telah tiada dan ditarik oleh sistem pendidikan sebegini,” jelas Wan Maizura yang memilih untuk bersara pada 1 September tahun lalu.
Peranan Pegawai Tadbir Daerah (PTD)
Wan Maizura turut mempersoalkan peranan PTD yang tidak mempunyai asas perguruan tetapi menggalas tugas untuk menetapkan KPI guru.
PTD juga akan meminta untuk melakukan bermacam-macam program semata-mata untuk mencapai KPI mereka di kementerian.
“Saya boleh mengajar dari pagi sampai ke petang tetapi saya tidak akan kembali berkhidmat jika sistem pendidikan tidak diubah”.
“Saya ini seorang yang ‘gila’ mengajar. Tetapi bila ada arahan bertindih sampaikan kena kerja pada pukul 10 malam, awal pagi kena masukkan data, ini yang kita tak mampu ikut,” tegasnya lagi.
Sebagai seorang guru yang telah lama mengajar, Wan Maizura juga mendedahkan bahawa dia mempunyai modul pengajaran yang boleh meningkatkan kualiti murid.
Tetapi sayangnya ia tidak diiktiraf sebaliknya perlu mengikut arahan yang lebih menjurus kepada kepentingan pihak tertentu.
“Kita nak mengajar untuk memanusiakan budak-budak. Kenapa kita nak mengajar mengikut KPI orang tertentu?
Mereka hanya mahukan data yang cantik,” keluhnya yang kecewa dan nekad untuk bersara.