Kini Kelantan Pula Diserang Gangguan Ketukan Misteri


KOTA BHARU, 22 Julai 2022 – Penduduk di lima buah kampung mukim Pendek, Kota Bharu kini diselubungi dengan ketakutan selepas rumah mereka diganggu dengan ketukan misteri sejak seminggu lalu, lapor myMetro.

Penduduk dari 50 buah rumah itu memberitahu, ketukan serta dentuman yang kuat boleh dikatakan berlaku serentak pada waktu tengah malam di pintu serta dinding rumah.

Perkara ini menimbulkan kehairanan serta ketakutan dalam kalangan penduduk Kampung Belimbing, Tunjong, Pulau Gajah, Keling dan Lating kerana apabila disiasat, tiada pelaku mahupun kesan ketukan ditemui.

Penduduk, Jasmi Awang Ahmad@Othman, 66, berkata, rumahnya diganggu dengan ketukan kuat selama dua hari berturut-turut sejak dua malam lalu.

Menyangka ada orang yang ingin memecah masuk rumah, beliau terus mengambil sebilah pedang dan lampu suluh sebelum keluar rumah.

“Kira-kira jam 1.40 pagi dua malam lalu, kedengaran ketukan bertalu-talu yang sangat kuat di dinding rumah menyebabkan kami sekeluarga terkejut,” katanya kepada myMetro.

“Berbekalkan lampu suluh dan sebilah pedang sebagai menjaga keselamatan, saya keluar untuk melihat apa yang berlaku namun tiada kelibat manusia atau apa-apa yang berlaku.”

“Dalam masa yang sama, beberapa penduduk kampung turut berada di luar rumah dan memberitahu perkara yang sama berlaku di rumah masing-masing dan waktunya juga sama menyebabkan kami semua kehairanan,” ujarnya.

Tambahnya, kejadian yang sama berulang malam seterusnya dan pada waktu yang sama menyebabkan penduduk sekali lagi bingung.

Mereka cuba menunggu antara satu hingga dua jam daripada ketukan berlaku untuk mengesan pelaku namun tetap gagal dikenalpasti.

Seorang lagi penduduk kampung, Tan Mansor Tuan Kechik, 64, berkata, rumahnya turut diketuk bertalu-talu terutamanya pada awal pagi dalam tempoh beberapa hari sejak kebelakangan ini.

Pada mulanya, beliau mengesyaki anaknya pulang lewat malam, namun tiada kelibat manusia kelihatan apabila menjenguk ke luar rumah.

“Bunyinya agak kuat namun saya mengabaikannya walau dalam hati berasa curiga dan rupanya situasi yang saya alami turut dihadapi penduduk lain.”

“Keesokan harinya ramai yang bercakap mengenai gangguan ketukan misteri di rumah masing-masing malah ada yang bunyinya sangat kuat walaupun rumah mereka berstruktur batu,” kata Tan Mansor.

Berikutan kejadian gangguan ketukan misteri ini, penduduk di lima buah kampung itu sepakat untuk melakukan rondaan pada waktu malam bagi mengenal pasti punca kejadian ketukan misteri itu.

Setakat ini, penduduk masih tidak melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa kerana tidak mengesyaki ia berkaitan dengan kejadian jenayah.

LihatTutupKomentar