BALASUNGKAWA ALMARHUMAH
ASY-SYAHIDAH IMAN SUMAYYAH BINTI AFANDI
Latar Belakang Keluarga Ibu Bapa :
Telah ketentuan Allah SWT atas jodoh dua insan pada 9 Mei 1998 di antara dua buah keluarga yang sederhana kehidupan, disatukan ikatan perkahwinan dengan penuh bermakna dan diberkati. Bumi Kg Serkam dan Bumi Batu Gajah Merlimau diukhwahkan persaudaraan.
Insan berdua ini bernama Afandi bin Abdul Samad dan Robiyatun Binti Md Nor. Syukur Alhamdulillah di malam perkahwinan 9 Mei 1998, pada Jam 9 .00 malam, perkahwinan kami diagendakan program Ceramah Perdana berkisar tajuk Keluarga Sakinah Keluarga Bahagia. Keluarga kami telah menjemput penceramah utama ketika itu iaitu Yang Berbahagia Almarhum Dato Ustaz Ismail bin Kamus, seorang Ulama Patani serta guruku Yang Mulia Almarhum Hj Md Said Omar (Pak Sheikh). Berkat Doa Ulama pada malam tersebut amat menyentuh perasaan saya sehingga diri ini mengharapkan agar perkahwinan mulia ini diberkati serta dikurniakan keturunan dan zuriat yang soleh.
Alhamdulillah bahtera kehidupan ini, dengan Izin Allah dikurniakan LIMA orang cahayamata bernama Iman Sumayyah, Miqdad Shauqi, Wardhina Huda, Fawwaz Zuhaili dan Hidayah Insyirah. Kini semuanya masih melanjutkan pelajaran.
Perjalanan Anak-Anak :
Ulama pewaris Para Rasul dan Nabi. Doa mereka amat bermakna dalam kehidupan kita kategori orang awam. Sayang Ulama merupakan intipati jiwa keluargaku meraih kasih sayang Ulama, semoga Kasih Rasulullah SAW ujud buat diriku dan keluargaku. Kurniaan lima cahayamata merupakan manifestasi menuju satu gagasan besar iaitu Keredhaan Allah. Doa Alim Ulama pada malam 9 Mei 1998 masih segar diingatan saya menjadi objektif utama membentuk kehidupan berkeluarga.
Syukur Alhamdulillah saya dikurniakan lima cahayamata Iman Sumayyah (1999), Miqdad Shauqi (2001), Wardhina Huda(2002), Fawwaz Zuhaili (2003) dan Hidayah Insyirah (2005).
Semua cahayamata memulakan pendidikan di Tadika Darul Ilmu, Bandar Putra Kulai Johor. Selepas itu, melanjutkan ke Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB JB) sehingga tamat UPSR. Setelah menerima keputusan UPSR, saya berazam dan bertekad menghantar anak-anak melanjutkan pendidikan di Bumi Kelantan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengambil bidang Tahfiz, Diniah dan Akademik mengikut ketetapan KPM. Alhamdulillah kesemua cahayamata berjaya meneruskan pendidikan di Kelantan dibawah Yayasan Islam Kelantan.
Iman Sumayyah – Maahad Tahfiz Sain Tanah Merah
Miqdad Shauqi – SMU Al- Khauthar Peringat dan Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bahru
Wardhina Huda – Maahad Al Khindi PCB dan Maahad Ar Rahmah Tok Kenali Kubang Kerian.
Fawwaz Zuhaili – SMU Tahfiz Diniah Bunut Sarang Burung Tumpat
Hidayah Insyirah – Maahad Tahfiz Sain Tanah Merah
Iman Sumayyah Binti Afandi :
Menyusuri bahtera awal perkahwinan, Allah mengurniakan cahayamata pertama pada 25 April 1999 dan diberi nama Iman Sumayyah binti Afandi. Berbekal ilmu yang sedikit dan Hasil mendengar kuliah-kuliah para asatizah berkaitan nama-nama syuhada di kalangan wanita Islam, saya dan isteri terpikat dengan nama SUMAYYAH diikat dengan IMAN. Semua tahu Sumayyah binti Khabbat, wanita pertama SYAHID dalam Sirah Islam. Wanita inilah memikat keluargaku untuk memberikan nama tersebut pada anak pertama Tahun 1999.
Iman Sumayyah anak sulung ikatan kasih keluarga dibesarkan dengan penuh kemanjaan dan kasih sayang. Disediakan apa jua keperluannya untuk merasa nikmat kehidupan walaupun sederhana. Ketika kami bekerja, Iman Sumayyah dijaga diasuh oleh Almarhumah Mak Jah dan Almarhumah Awin di Kg Kurnia Johor Bahru. Ketika usia sekitar 6 bulan, Iman Sumayyah diuji dengan sakit bronchitis dan sering mendapatkan rawatan pakar KPJ Abdul Samad Johor Bahru. Untuk melihat anak ini terus sihat, Doktor Khidir Pakar KPJ Johor Bahru menasihatkan agar menggunakan susu yang baik dan mencadangkan Susu Isomil. Walaupun kosnya agak mahal, kami sempurnakan untuk melihat Iman Sumayyah terus sehat dan baik. Susu Isomil ini digunakan sehingga Iman Sumayyah berusia 5 tahun. Alhamdulillah Nampak keceriaan dan kesihatan yang sangat baik.
Ulama selalu memberikan nasihat agar sentuhlah anak kalimah tayyibah mulai dari kecil dan ajari agama dalam dirinya. Bermula usia 5 tahun, kami serahkan dan menghantar Iman Sumayyah kepada Ustaz Khairudin seorang Guru Quran yang hebat di Daerah Kulai Johor. Dibentuknya Iman Sumayyah selama 7 tahun bacaan Al Quran, Ilmu Tajwid dan Hafazan Al Quran surah-surah pilihan. Atas didikan ikhlas Ustaz Khairudin dan isterinya, Iman Sumayyah dapat membaca Al Quran dan Khatam Al-Quran seusia 10 Tahun. Ketika itu, saya melihat Iman Sumayyah minat kepada Al-Quran bahkan menjadi pemangkin dan motivasi kepada adik-adiknya.
Setelah usia 12 tahun dan tamat UPSR di SRAB JB dengan keputusan 5A, saya bertekad dan penuh yakin kepada Allah dan tawakkal kepadaNya mengambil keputusan memasukkan Iman Sumayyah ke Maahad Tahfiz kluster di bawak YIK iaitu Maahad Tahfiz Sain Tanah Merah mulai Tahun 2012 – 2016 dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Disinilah Iman Sumayyah diasuh dengan hafazan Al Quran dengan jadual yang padat. Maahad Tahfiz ini mengikut silibus dibawah KPM, ada akademik, ada tahfiz dan juga silibus diniah Arab. Sebanyak 23 silibus dipelajarinya dengan tekun dan mendapat keputusan cemerlang dalam PMR, SMU dan SPM.
Kita berusaha dan Kepada Allah kita bertawakkal, syukur Alhamdulillah Iman Sumayyah telah menyempurnakan Hafazan Al-Quran pada usia 15 Tahun (Tingkatan 3), mendapat PMR 8A, SMU 8 Mumtaz dan SPM 7A. Almarhumah Bonda Hjh Arfah Hj Omar selalu impikan dari keturunannya akan ada lahir seorang Huffaz Al Quran. Sangat-sangat bersyukur, doa Almarhumah Bonda dimakbulkan dimana beberapa orang cucunya dikurniakan hafazan 30 Juzuk. Benarlah DOA IBU itu tiada hijabnya. Hari Graduasi Tahfiz di Balai Islam Lundang Kota Bahru yang diterima oleh Iman Sumayyah adalah hari yang paling gembira saya dan isteri. Gugur airmata kesyukuran melihat anak sulungku memakbulkan impian dan cita-cita ibubapa dan nendanya. Buyah hanya boleh berkata,”TAHNIAH buat anakku Iman Sumayyah, Peneman Abadimu telah ujud dan akan menjadi pendinding yang sangat ampuh di hari akhirat kelak. Jagalah dan peliharakan Kalam Allah ini”.
Iman Sumayyah bercita-cita untuk lanjutkan pendidikan di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah. Pra syarat masuk ke Al-Azhar ialah kelulusan STAM. Maka kami menghantar Iman Sumayyah mengambil pendidikan STAM di Sekolah Menengah Arab Luqhatul Quran Kesang Tasek Muar pada Tahun 2017. Alhamdulillah dikurniakan keputusan Jayyid Jiddan dan melayakkan Iman Sumayyah ke Bumi Mesir. Kehidupan Iman Sumayyah penuh dengan menuntut ilmu kerana itu adalah minat mendalamnya.
Cita-citanya semakin subur dan menjadi realiti dengan Izin Allah, Syukur Alhamdulillah Iman Sumayyah menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir selama 4 tahun bermula pada Tahun 2018 hingga 2022 dalam Bidang Syariah Islamiah. Wajah keceriaan kegembiraan dan kesyukuran terpancar bersinar pada Iman Sumayyah.
Iman Sumayyah di Bumi Mesir :
Kami sekeluarga dengan penuh kesyukuran menerima tawaran Iman Sumayyah melanjutkan keilmuan di Bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar Mesir pada Tahun 2018. Seluruh keluarga kami menzahirkan kegembiraan ini. Maka bermulalah anakanda Iman Sumayyah mendalami ilmu di Universiti tersebut kerana Allah dengan penuh minat dan tekun.
Pasti hampir setiap hari khususnya ketika mendekati waktu peperiksaan, Iman Sumayyah di Bumi Mesir, akan hubungi buyahnya melalui video call. Kebiasaan Iman Sumayyah akan call pada waktu tengahari antara Jam 12.30 tengahari ke 3.00 petang. Yang sangat mengharukan kami sekeluarga, setiap kali video call, Iman Sumayyah berada beriktikaf di dalam masjid di Kaherah sambil menelaah subjek serta menghafaz ilmu-ilmu yang dipelajarinya. Alhamdulillah amalan ini dibuatnya secara istiqamah ketika menuntut ilmu di sana. Berkat istiqamah, Alhamdulillah Tahun Pertama di Universiti Al-Azhar 2019, Iman Sumayyah mendapat keputusan yang sangat baik bertaraf JAYYID JIDDAN.
Iman Sumayyah berada Setahun lebih dibumi Mesir, banyak tempat-tempat sejarah Islam dilawatinya serta pernah dikhabarkan kepada kami sempat menziarahi Makam Imam As-Shafei, Imam Mazhab bagi kita di Malaysia serta makam Ulama Muktabar.
Sewaktu di Mesir, Iman Sumayyah sering beberapa kali menjadi wakil Pertubuhan Kebajikan Amanah Prihatin Kulai Johor (PKAP KULAI JOHOR) untuk mencari asnaf pelajar miskin serta menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka. Iman Sumayyah sangat menyukai kerja amal ini dan melangsungkan ukhwah dengan asnaf tersebut. Iman Sumayyah sentiasa memberikan semangat kepada PKAP Kulai Johor agar terus istiqamah berbakti kepada Umat Rasulullah SAW. Moga adik-adiknya akan meneruskan kerja amal ini dengan penuh ikhlas sehingga akhir hayat.
Pada Bulan Oktober 2019, Iman Sumayyah kembali semula ke Universiti Al-Azhar melanjutkan pelajaran ke Tahun Kedua. Di Tahun kedua ini, Iman Sumayyah hanya dapat meneruskan pelajaran selama 5 bulan sahaja bermula Oktober 2019 hingga Feb 2020. Disember 2019, Iman Sumayyah selalu mengadu penat dan ada simtom-simtom penyakit dalaman yang memerlukan rawatan. Peringkat awal, kami menyuruh untuk dapatkan rawatan di Hospital Kaherah Mesir. Alhamdulillah rawatan telah dibuat beberapa kali sehingga memperolehi result ada ketumbuhan dibahagian dada yang menghimpit bahagian jantung dan paru-paru. Apabila menerima berita ini, akhir Feb 2020 saya membuat keputusan untuk membawa Iman Sumayyah kembali ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dan sempurna.
Rawatan di KPJ Jalan Abdul Samad :
Dua minggu sebelum berlaku PKP seluruh Malaysia iaitu 18 Mac 2020, Iman Sumayyah kembali ke Malaysia dan seteruskan menerima rawatan pakar di KPJ Johor Bahru di bawah seliaan Dr Natasha. Pelbagai prosedur menyeluruh telah dibuat oleh pihak KPJ Johor Bahru, akhirnya setelah diteliti, dikaji, dibuat biopsi, akhirnya kumpulan Doktor KPJ telah mengetahui secara tepat penyakit Iman Sumayyah. Tika Dr Natasha ingin memaklumkan keputusan penyakit Iman Sumayyah, Dr. agak merasa cemas juga untuk memaklumkan kepada kami berdua. Namun begitu, saya terus bersuara dengan nada keyakinan kepada kepada Takdir serta Qada Qadar Allah, memohon Dr Natasha maklumkan sahaja penyakit Iman Sumayyah, Insya Allah kami bersedia menerimanya.
Dengan perlahan, Dr Natasha memaklumkan bahawa Iman Sumayyah menerima ujian Penyakit Kanser bernama THYMIX CARCINOMA. Mendengar keputusan tersebut, kami berdua Redha dengan ketentuan Ilahi dan menyatakan kepada Dr Natasha, “Doktor, buatlah prosedur rawatan yang terbaik buat Iman Sumayyah. Lakukan apa sahaja yang menjurus kepada kesembuhannya. Kami akur dengan langkah-langkah yang bakal dibuat oleh KPJ”. Bermulalah treatment Kimo yang dibuat berpuluh kali selama setahun lebih dan treatment Radio Therapy. Setelah menerima maklum keputusan tersebut, kami perlahan mengkhabarkan kepada Iman Sumayyah tentang penyakit sebenarnya. Sungguh kami terharu dan sangat tak terduga, apabila kami memaklumkan penyakitnya, Iman Sumayyah terima ketentuan Ilahi tanpa rasa sedih, rasa takut atau rasa cemas, namun Iman Sumayyah berkata Allah Uji mesti ada sebab dan hikmahnya. Tiada yang berlaku melainkan dalam pengetahuan Allah. Kata-kata ini sangat-sangat menyentuh hati saya sebagai ibubapa. Tingginya ketauhidan Iman Sumayyah pada Allah, beriman pada rukun Qada dan Qadar Allah, menerima ujian Allah ini dengan sangat positif (sangka baik pada Ilahi). Perkara ini mengugurkan airmata saya kerana seolah-olah Allah telah menerima cara, kaedah dan sentuhan pendidikan yang saya dan isteri berikan.
Selama menerima treatment ini setahun lebih, saya melihat Iman Sumayyah seperti insan biasa, seolah-olah tiada penyakit. Makan, minum, ketawa, senyum macam insan lain. Tiada terlihat seorang yang berpenyakit. Allahuakbarr Allahuakbarr. Kadang-kadang terasa pelik juga melihatnya. Bila mendengar berita insan lain yang diuji kanser, pelbagai situasi berlaku pada insan tersebut. Lemah, tak bermaya, tiada nikmat makan, sakit seluruh badan dan sebagainya.
Alhamdulillah Iman Sumayyah bertahan seperti insan normal selama 1 tahun 4 Bulan setelah kimo berpuluh kali dan radio therapy. Dua bulan terakhir iaitu Ogos 2021 dan September 2021, baru kami melihat keadaan kesihatan Iman Sumayyah semakin menurun. Hampir setiap minggu dan saat-saat yang mencemaskan, kami bawa terus ke Bilik Kecemasan KPJ Johor Bahru dan jika berada di Melaka ke Pantai Hospital Ayer Keroh Melaka. Kami kentalkan hati, kuatkan semangat dan cuba memberikan petunjuk Ilahi serta motivasi kepada Iman Sumayyah walaupun kami tahu masanya sangat hampir. Ya Allah, Engkau sahaja yang mengetahui hatiku dan hati isteriku, ibu yang mengandungnya, ibu yang menyusukan, ibu yang mendidiknya, ibu yang membesarkan, ibu yang menjaganya di wad selama setahun lebih, ibu yang sepanjang masa bersama Iman Sumayyah, ibu yang sangat kental jiwanya dan pandangan saya dialah ibu yang Berjaya menjadikan Iman Sumayyah seorang anak yang solehah, seorang hafizah 30 Juzuk dan ibu yang sangat-sangat memahami isi hati anak-anak dengan Pimpinan daripada Ilmu Allah dan Hadis Rasulullah saw. Seorang Buyah tidak mampu menekuni Sifat Ibu yang sangat kental.
Saat-Saat Pemergian Iman Sumayyah :
Sifat Iman Sumayyah yang sentiasa tersenyum, ketawa dan riang adalah kurniaan Allah. Sepanjang hidupnya tak pernah lekang dengan wajah tersenyum kepada semua insan. Sifat kasih sayangmu pada golongan miskin, mengasihi anak Yatim serta hormati golongan yang lebih tua, suka menerima dan melayani tetamu, istiqamah murajaah dan tadabbur dengan Al Quran, sentiasa mencintai ilmu, menjaga solat, menjaga aurat dan sifat-sifat mahmudah yang ada dalam diri Iman Sumayyah adalah cerminan akhlak mu. Cerminan akhlak inilah mengakhiri hidup dengan sifatmu itu penuh REDHA ALLAH SWT.
Kesihatan Iman Sumayyah semakin lemah pada akhir Ogos 2021. Sukar bernafas, sakit tulang-tulang, tiada nikmat makan berlaku pada dirinya. Namun begitu, Iman Sumayyah masih boleh berbicara dan cergas otaknya. Hanya Terapi Kalam Allah melalui handphone menjadi penemannya. Saya mengambil keputusan memasukkan Iman Sumayyah ke Wad KPJ Johor Bahru pada 3 September 2021. Doktor KPJ membuat berbagai prosedur rawatan kepada Iman Sumayyah. Alhamdulillah kelihatan sihat pada minggu pertama dan minggu kedua di wad KPJ, namun Iman Sumayyah hanya boleh berteleku sahaja untuk rehat dan tidur. Tak boleh berbaring kerana sakit. Kansernya telah menyerang banyak tempat terutamanya tulang tangan, tulang kaki, peha dan tempat-tempat lain. Maha Suci Allah, tiada satu patah kalimah pun sejak dimaklumkan penyakitnya yang diungkap untuk merungut, merintih sakit dan sebagainya. Iman Sumayyah terus rehat cara berteleku dan seolah-olah telah bersedia dengan apa jua kemungkinan yang bakal terjadi pada dirinya. Allahuakbarr.
Pada 24 September 2021, Iman Sumayyah telah keluar wad dan berehat di rumah Bandar Putra Kulai selama seminggu hingga 3 Oktober 2021. Kerana sifatnya yang sangat mencintai Ilmu, Iman Sumayyah dikurniakan tawaran ke Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai pada Bulan September 2021. Pengajian di Mesir, kami tawaqquf dahulu untuk rawatan Iman Sumayyah. Pagi 3 Oktober 2021 Iman Sumayyah dalam keadaannya berteleku berjuang dengan penyakitnya, diberikan kekuatan untuk mengambil peperiksaan Bahasa Arab USIM secara online hingga selesai dengan dibantu oleh adiknya dan sahabatnya. Pemikirannya masih tajam dan segar untuk menerima ilmu walaupun zahir yang dilihat sangat kritikal.
Setelah selesai mengambil peperiksaan, Jam 4 petang, Iman Sumayyah bersama ibu dan adiknya kembali ke Kg Serkam Merlimau, sempat singgah dirumah untuk Solat Asar dan seterusnya membawanya ke Mahkota Medical Melaka kerana Iman Sumayyah mengadu susah untuk bernafas.
Setiba di Mahkota Medical Melaka Jam 7.30 malam, Iman Sumayyah yang duduk berteleku di dalam kereta di keluarkan perlahan dan menggunakan kerusi roda terus mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan. Dibuat pelbagai cara untuk membantu Iman Sumayyah terus bernafas dengan baik. 3 Oktober 2021 Jam 9.30 malam, Iman Sumayyah ditemani ibunya dimasukkan ke Wad Mahkota Medical.
Pada malam ini, ibunya mengkhabarkan Iman Sumayyah setiap sejam tersedar dan memanggil “mama mama” diceritakan tentang beberapa perkara itu dan ini. Setiap kali Iman Sumayyah cuba cerita diakhiri dan berkata “Tidur Ye Mama”, “Sorry Mama”, “I love you”, “I love you more”. Itulah ungkapan kasih sayangnya yang kerap kali dan buat yang terakhir kali disebut pada Ibunya.
Pada 4 Oktober 2021, Jam 8 pagi Iman Sumayyah masih duduk berteleku dan boleh berkata seperti biasa. Masih lagi menggunakan alat penafasan. Jam 10.30 pagi, ibunya menelefon saya dalam keadaan menangis memohon segera ke hospital kerana Iman Sumayyah dalam keadaan amat kritikal. Saya bergegas segera ke hospital setelah mendapatkan Ujian RTK di Klinik Dr Akmal, Merlimau.
Jam 11.40 pagi saya tiba di Mahkota Medical Melaka dan memasuki bilik Wad Iman Sumayyah. Suasana hiba, sayu mendengar tangisan seorang ibu menemani anak sulungnya. Allahuakbarr. Buyah mendekati Iman Sumayyah, mendengarkan kepadanya Syahadah. Buyah sangat yakin akalnya masih berfungsi seperti biasa mendengar kata-kata akhir buyah. Hati berkata inilah tika dan saat akhir sakratulmaut buat Iman Sumayyah. Ya Allah, Engkau Maha mengetahui isi hati ibu dan buyahnya.
Sekitar Jam 12.30 tengahari, untuk usaha kali terakhirnya, didalam bilik yang sayu ini, saya mengalunkan Azan dan saya solat hajat 2 rakaat memohon kepada Rabbul Khaliq agar dikurniakan kesembuhan buat Iman dan permudahkan urusannya. Setelah selesai solat, buyah menghampiri anak yang mulia dan mendengar ayat suci Al Quran. Saat-saat inilah Allah memutuskan segala kelazatan dunia ini buat insan bernama Iman Sumayyah. Buyah memulakan membaca Surau Al-Fatihah kali pertama. Kelihatan mata Iman Sumayyah mula terbuka, buyah terus membaca Al –Fatihah kali kedua, kelihatan Iman Sumayyah terus membuka mata yag besar, disaat inilah buyah terus bertentangan ke mata dan wajah Iman Sumayyah dan berkata,” Anakku Iman, ini buyah nak… ini buyah nak, buyah kamu yang sebenar, Allahuakbarr Allahuakbarr. Maya lihat apa sayang, Maya lihat Syurga ye lihat Syurga ye, lihat syurga ye…”.
Ditika buyah berkata demikian, Allah SWT melalui Malaikatnya menjalankan tugasnya mengeluarkan Roh Anakanda Iman Sumayyah dalam keadaan yang amat tenang dan akhirnya Iman Sumayyah menghembuskan nafas terakhir pada Jam 12.40 tengahari 4 OKTOBER 2021.
Sekuntum senyuman terukir di akhir hayatnya.
Beberapa hari selepas pemergianmu, Syukur Alhamdulillah Buyah Mama banyak menerima cerita-cerita terbaik buat Anakanda Asy-Syahidah Iman Sumayyah binti Afandi.
Ibrah hidupmu sangat bermakna buat insan keliling khususnya ahli keluarga. Dakwahmu terus berlegar walaupun nafasmu telah berakhir. Saat buyah menukilkan coretan ini, pusaramu sentiasa diziarahi ahli keluarga, teman-teman dan sahabat handai. Suatu petunjuk Allah yang sangat indah.
Ya Allah, Buyah Mama dan adik-adik meredhai pemergianmu. Tenang dan bahagialah disana dengan Janji-Janji Allah Yang Maha Benar.
Wallahu A’lam
AL-FATIHAH……
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَها وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا، وَأَكْرِمْ نُزُلَهَا، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهَا، وَاغْسِلْهَا بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهَا مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلاَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ. وَأَبْدِلْهَا دَارًا خَيِرًا مِنْ دَارِهَا، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ اَهْلِهَا وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهَا، وَأَدْخِلْهَا الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
Artinya: Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya, cucilah dia dengan air yang jernih lagi sejuk, dan bersihkanlah dia dari segala kesalahan bagaikan baju putih yang bersih dari kotoran, dan gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, dan keluarga yang lebih baik, dari yang ditinggalkan, serta suami yang lebih baik dari yang ditinggalkannya pula. Masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah dari siksanya kubur serta fitnahnya, dan dari siksa api neraka-Mu