Dua maut, empat cedera parah MPV terbabas langgar pokok


LANGKAWI – Percutian enam individu di pulau peranginan Langkawi bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd. Firdaus Nor Shaidi, 23, yang merupakan anggota tentera beralamat di Markas Tentera Darat di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dan pelajar, Maizatul Hana Mohd. Rosdan, 21, dari Gurun dekat sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kesemua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan dan kita tidak menolak kemungkinan kenderaan tersebut dipandu dalam keadaan laju.

“Dalam kejadian itu, dua individu meninggal dunia, seorang penumpang dikenali Maizatul Hana meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV, Mohd. Firdaus pula disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan HSM,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat lagi mangsa dilaporkan cedera, mereka ialah Fatin Nurfatiha Asmadi, 21; Nur Aiman Rifqi Mohd. Badrolnizan, 21; Muhammad Helmi Ahmad Tarmizi, 27 dan Nurul Atikah Mohd. Rashidi, 22.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE

LihatTutupKomentar