Dua maut, enam cedera dalam nahas empat kenderaan

Dua maut, enam cedera dalam nahas empat kenderaan

 


PEKAN – Dua maut manakala enam lagi cedera dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 59 Jalan Kuantan-Segamat di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, empat kenderaan terlibat ialah kereta jenis Honda City, Nissan Almera, Perodua Aruz dan pacuan empat roda, Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa iaitu pemandu Honda City, Mohd Said Husen, 67, beralamat Kampung Sekukuh, Pekan dan penumpang Perodua Aruz, Nur Alya Fakhira Ariffen,18, beralamat Kesang Damai, Jasin, Melaka meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat terbabas ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan Perodua Aruz yang datang dari arah hadapan.

“Perodua Aruz tersebut kemudiannya terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Almera dan Honda City yang berada di laluan dari Kuantan menghala ke Segamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata, kejadian itu juga menyebabkan pemandu Perodua Aruz yang merupakan seorang anggota polis di Melaka, Ariffen Ali, 57, bersama isterinya, Wan Nor Faridah Wan Jafar, 53, dan anaknya, Muhammad Aqif Firdaus,15, cedera ringan, manakala anak perempuannya, Nur Alya meninggal dunia.

“Pemandu Nissan Almera, Mohd Rafi Abu Samah, 56, bersama isterinya, Salinah Abdullah, 55, dan anaknya, Nur Hanisah Husna, 23, turut cedera ringan, manakala pemandu Toyota Hilux bersama penumpang berusia 18 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pekan,” katanya.

Tambah beliau, sampel darah dan ujian air kencing akan diambil selain bedah siasat dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis juga mengesan saksi bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Source: wowberita.my

LihatTutupKomentar