KOTA BHARU: Kejatuhan mendadak harga getah di pasaran membuat golongan penoreh di negeri semakin ‘tersepit’ selain berdepan dengan perubahan cuaca tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Situas itu tersebut menyebabkan ada dalam kalangan penoreh memilih untuk ‘menggantung’ pisau selepas hasil jualan komuditi itu tidak setimpal dengan keringat yang dicurahkan ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekebun dan penoreh getah di Kampung Kubang Badak, di sini Che Mat Yusof, 75, berkata, perasaannya kini menjadi bercampur baur
setiap kali mahu keluar menoreh selepas mengetahui pendapatan yang bakal diperolehi tidaklah seberapa.
Menurutnya, walaubagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri keluar sejak awal pagi untuk menoreh memandangkan ini adalah satu-satunya punca pendapatannya.
“Setiap dua minggu sekali saya akan mengutip hasil dan memperolehi RM500, namun, dengan harga sekarang ini, saya hanya memperoleh RM250 sahaja.
“Harga getah terlalu rendah macam mana kami nak hidup dan keadaan bertambah susah sekarang disebabkan musim hujan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penoreh, Mek Yeh Zakaria, 65, berharap kerajaan dapat memberi bantuan racun dan baja untuk berdepan dengan kejatuhan harga getah ketika ini.
“Kasihanilah orang-orang kampung yang mencari rezeki sebagai penoreh getah dengan keadaan ekonomi semasa serta kenaikan harga barang.
“Saya juga berharap agar kerajaan dapat membantu menetapkan harga lantai yang munasabah bagi memastikan harga getah terus stabil,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah terus menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara.
Sebabnya, harga komoditi itu hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram ketika ini. –UTUSAN