Tiga Beradik Raih Hampir RM10,000 Sebulan Hasil Jualan Cendawan Tiram

Tiga Beradik Raih Hampir RM10,000 Sebulan Hasil Jualan Cendawan Tiram

KUALA KRAI,15 September 2022 - Tiga beradik dari Kampung Desa Kasih, mampu meraih keuntungan mencecah hampir RM10,000 sebulan hasil jualan cendawan tiram yang diusahakan mereka sejak setahun lepas.


Muhamad Lokman Hakim Md Sabri, 25, berkata pada peringkat permulaan, tanaman yang diusahakan itu adalah sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja memandangkan beliau mempunyai banyak waktu terluang kerana bekerja sebagai juruteknik.

“Melihat potensi cendawan tiram ini, dua lagi adik saya iaitu Puteri Nurin Darwisyah, 23, dan Puteri Nurin Sabirah, 20, telah membantu saya untuk bersama-sama mengusahakan tanaman ini sebagai pendapatan sampingan.


“Kami mula membeli bongkah cendawan tiram dengan harga RM1.60 seunit sedikit demi sedikit untuk diletakkan di tepi rumah dan sehingga kini kami memiliki 3,000 bongkah,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.


Muhamad Lokman Hakim berkata mereka tidak menang tangan kerana cendawan tiram mendapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat dan peniaga di sekitar Kuala Krai dengan hampir 30 kilogram sehari.


“Kami tidak sangka sambutan jualan cendawan tiram ini sangat menggalakkan kerana selain mempunyai pelanggan tetap, kami turut menjualnya secara dalam talian dengan menggunakan platform media sosial untuk menambah pendapatan.


“Bagi mendapat hasil maksimum dan berkualiti, tanaman itu perlu berada dalam keadaan yang lembap selain persekitarannya juga perlu sentiasa bersih,” katanya yang akan mengutip hasil cendawan tiram dua kali sehari iaitu pada pagi dan malam.


Muhamad Lokman Hakim berharap usahanya akan dibantu oleh agensi berkaitan kerana beliau berhasrat untuk menjual bongkah cendawan tiram bagi membantu mana-mana individu yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.


“Bagi menghasilkan bongkah cendawan tiram, kami perlu tiga bahan iaitu habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian yang semuanya digaul dan disebatikan dengan menggunakan mesin.


“Bahan tersebut dikukus selama enam jam di dalam tong dan akan disejukkan selama 24 jam sebelum disimpan pada suhu yang lembap,” katanya.

LihatTutupKomentar