Dengan Kuasa Allah Walaupun Mata Dibutakan “Roslan Saleh Tetap Kenal Rakan-Rakan Artis Yang Ziarahinya”
Roslan Saleh masih kenal rakan-rakan artis yang ziarahinya
Keadaan kesihatan pelakon veteran, Roslan Saleh yang sebelum ini dilaporkan kian merosot kini dilihat semakin baik sewaktu rakan-rakan artis melakukan ziarah baru-baru ini.
Menurut laporan mStar Online, pelakon Anne Abdullah memaklumkan, Roslan atau mesra dipanggil Pak Lan masih mengenali rakan-rakan seperti Fauziah Nawi dan Liza Abdullah walaupun penglihatannya bermasalah.
“Alhamdulillah, saya lihat keadaannya kini semakin baik. Abang Lan sudah boleh duduk dan berselera makan.
.
“Walaupun penglihatannya sudah tiada namun dia masih mengenali kami yang datang menziarahinya baru-baru ini,” katanya.
Anne berkata, aktor berusia 65 tahun itu kelihatan lebih gembira dan bersemangat apabila dikunjungi rakan-rakan yang bertanya khabar akibat menghidap penyakit diabetes kronik.
“Meskipun kami semua sibuk dengan urusan kerja, Alhamdulillah kami cuba luangkan masa berjumpa dengannya. Saya harap rakan-rakan selebriti lain turut datang menjenguk Abang Lan,” ujarnya.
Sementara itu, dia turut menjelaskan bahawa masalah penglihatan Pak Lan bukan disebabkan penyakit diabetes tetapi adalah kerana sering mengalami sakit kepala kronik.
Berikutan itu, doktor membuat keputusan bagi mematikan saraf pada bahagian mata untuk mengurangkan sakit kepala yang dihadapinya.
Terdahulu, media melaporkan kesihatan Pak Lan kurang memuaskan akibat penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu.
Lebih sukar apabila dia tidak mampu berjalan selepas bahagian kakinya melecur ketika membuat rawatan alternatif sehingga perlu dimasukkan ke hospital pada Mei lalu.