Bekas Johan Tilawah Antarabangsa, Ustaz Wan Ainuddin Hilmi Meninggal Dunia


Bekas johan Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dilaporkan telah meninggal dunia tengah hari tadi.

Wan Ainuddin Hilmi, 39, yang berasal dari Kelantan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1.25 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham turut dikongsi Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali kerahmatullah tengahari tadi.

 

“Allahyarham merupakan Johan Qari Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58 pada 2016. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham diatas kejayaan, jasa dan sumbangan dalam usaha memartabat Al-Quran. Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-quran.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” tulisnya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu sebelum dikembukan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol.

Source: wowberita.my

LihatTutupKomentar