Jasad peluk ibu mentua “tular video ‘buku pink’ milik wanita hamil ditemui”
Jasad peluk ibu mentua
Pemergian tiga sekeluarga dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling pada Isnin mengundang sebak orang ramai.
Dua daripada mangsa iaitu Nurul Hanis Abu Hassan yang hamil empat bulan dan ibu mentuanya, Salmah Mat Akib ditemui dalam berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka.
Lebih menyayat hati apabila rakan serta kenalan Nurul Hanis memuat naik pelbagai rakaman video mengenang pemergian Allahyarham yang berusia 23 tahun itu.
Salah seorang rakan, Suria Abdullah berkongsi video di aplikasi TikTok yang turut memaparkan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dipercayai menjalankan operasi berhubung kejadian tersebut.
“Al-Fatihah sahabatku dan baby dalam kandungan semoga ditempatkan dalam orang2 beriman,” tulis Suria.
Menerusi rakaman berdurasi 28 saat itu, segelintir netizen mendakwa anggota JPAM menemui ‘buku pink’ atau rekod kesihatan ibu yang dipenuhi kesan lumpur dikatakan milik Allahyarham.
Ia secara tidak langsung membuatkan netizen rata-rata tersentuh hati mengenang Allahyarham dimana ketika kejadian, dia sedang menjaga ibu mentuanya yang terlantar sakit akibat lumpuh.
Selain itu, mereka juga menitipkan al-Fatihah selain mendoakan Allahyarham agar ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Semoga syurga tempatnya
Sementara itu, jurusolek yang pernah menata rias Allahyarham turut terkesan dengan kejadian berkenaan apatah lagi arwah dan suaminya Khairul Ashraf Nor Azman baru berkahwin Februari lalu.